Solat

Solat merujuk kepada sembahyang dalam agama Islam. Solat terbahagi kepada solat fardu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas orang Islam sebanyak 5 kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardu merupakan salah satu dari Rukun Islam. Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam, iaitu subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak.Sekiranya seseorang tertinggal solat fardu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada.Bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan mengqasarkan dan menjamakkannya.

Waktu-waktu solat

Solat Zohor Waktunya dimulai sejak matahari tergelincir ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul panjangnya dengan benda itu. Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
  3. Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
  4. Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas

 

Solat Asar Waktunya dimulai setelah waktu Zohor habis, iaitu ketika bayangan sesuatu benda sama panjang dengan bendanya dan berakhir setelah terbenamnya matahari. Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

  1. Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
  2. Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
  3. Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
  4. Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun.

 

Solat Maghrib Waktunya dimulai setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila mega merah telah hilang. Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

  1. Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
  2. Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
  3. Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya.

 

Solat Isyak Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq. Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

  1. Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
  2. Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
  3. Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
  4. Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

 

Solat Subuh Waktunya dimulai setelah terbit fajar shadiq sampai terbitnya matahari. Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

  1. Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
  2. Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.

 

Syarat wajib solat:

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan

Syarat sah solat:

  1. Suci badan dari dua hadas besar dan kecil.
  2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
  3. Menutup aurat.
  4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
  5. Yakin masuk waktu solat.

(nota: sekiranya sesudah tamat solat, lalu disedari perkara yang tersebut di atas terjadi - misalnya didapati ada najis di sejadah - maka perlulah diulangi solat itu kerana ianya tidak menepati syarat sah solat)

Perkara-perkara yang membatalkan solat:

  1. Keluar/kedatangan hadas besar atau kecil.
  2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit yang memberi faham, atau ketawa.
  3. Makan/minum walau sedikit.
  4. Melakukan pergerakan di luar rukun solat tiga kali berturut-turut(mutawaliyat).
  5. Berniat keluar dari solat
  6. Terkena najis yang tidak dimaafkan pada badan, pakaian dan tempat solat.
  7. Beralih arah dari kiblat dengan sengaja (berpaling dada).
  8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  10. Meninggalkan rukun solat.
  11. Murtad

Rukun Solat

Rukun solat ada 13:

  1. Niat.
  2. Takbiratul Ihram.
  3. Berdiri bagi yang mampu.
  4. Membaca surah Al-fatihah.
  5. Rukuk dengan tama'ninah (tama'ninah: tenang dan tertib, tidak terburu-buru).
  6. Iktidal dengan tama'ninah.
  7. Sujud dua kali, dengan tama'ninah.
  8. Duduk di antara dua sujud,dengan tama'ninah.
  9. Tasyahhud Akhir dengan membaca bacaan Tasyahhud.
  10. Duduk dalam Tasyahhud akhir.
  11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir.
  12. Membaca salam.
  13. Tertib.

Pada mazhab Maliki dan Hanafi, baca fatihah rukun bagi solat perseorangan sahaja. (Tidak rukun bila solat jemaah, bila imam baca makmum dengar sahaja berdasarkan al-quran:-dan hendaklah kamu diam bila quran dibacakan.).

Perkara-perkara sunat semasa solat

  1. Sunat Hai'ah
  2. Sunat Ab'adh

Perkara-perkara makruh semasa solat

  1. Berpaling ke kiri atau ke kanan (kecuali ketika Salam).
  2. Memandang ke atas (mendongak).
  3. Berdiri menggunakan sebelah kaki sahaja.
  4. Berludah ke hadapan atau ke belah kanan.
  5. Berlebih-lebihan membongkok dan menundukkan kepala ketika rukuk.
  6. Bercekak pinggang.
  7. Menyinsingkan kain atau baju.
  8. Bersembahyang ketika hadir makanan (makanan dihidangkan).
  9. Bersembahyang ketika berasa hendak qadha' hajat (membuang air).

Waktu Solat Sunat

Tidak semua solat sunat mempunyai waktu tertentu melainkan beberapa solat sunat. Waktu-waktunya adalah mengiku kelaziman waktu solat Nabi Muhammad s.a.w. antara solat sunat yang dilakukan mengikut waktu tertentu:

  1. Solat dhuha - dilakukan ketika waktu matahari baru naik (mengikut pandangan sesetengah ulama, pada ketinggian segalah atau tujuh hasta)
  2. Solat dua Hari Raya - dilakukan pada waktu pagi hari raya yang pertama bagi keuda-dua jenis hari raya dan lazimnya dilakukan pada waktu Dhuha iaitu waktu matahari baru naik (mengikut pandangan sesetengah ulama, pada ketinggian segalah)
  3. Solat tarawih - dilakukan pada waktu Isya' (lazimnya dilakukan selepas Solat isya' sebelum kemunculan waktu imsak)
  4. Solat sunat gerhana - dilakukan pada waktu gerhana (matahari atau bulan) berlaku.
  5. Solat sunat rawatib - dilakukan sebelum dan selepas solat fardhu. Tidak semua solat mempunyai kedua-dua solat sunat.

Waktu Haram Solat

Berikut adalah waktu yang diharamkan solat (sesetengah mengatakan bagi selain tanah haram):

  1. Waktu selepas solat Subuh hingga terbit matahari.
  2. Waktu mula terbit matahari (syuruk) hingga matahari berada di kedudukan pada kadar segalah (tujuh hasta).
  3. Waktu rambang (zawal, istiwa, rembah) atau waktu tengahari (matahari tegak) hingga gelincir matahari kecuali hari Jumaat.
  4. Waktu selepas solat Asar hingga matahari kekuningan.
  5. Waktu matahari kekuningan hingga matahari terbenam.